Persatuan Mahasiswa Masjid Asy-Syakirin (PERMAS), UiTM Johor menganjurkan Bengkel Penulisan Islamika pada 16 Ogos 2008 di Dewan Kuliah LT2, UiTM Johor. Pihak penganjur menjemput 2 wakil PTS Islamika iaitu Imran Azmi, editor PTS Islamika dan Zamri Mohd, penulis 'best seller' PTS bagi menyampaikan tip-tip menulis dan peluang menjadi penulis PTS. Kami tiba di UiTM Johor seawal 1:30 pagi dan diberikan tempat penginapan oleh penganjur. Pegawai yang menyambut kedatangan kami adalah saudara al-Hafiz, Presiden PERMAS. Penginapan di Ledang Inn yang terletak dalam kampus UiTM Johor memang selesa. Ia dikelilingi dengan pokok-pokok dan jauh dari kesibukan kota.


Keesokan harinya kami dijemput oleh Presiden PERMAS seawal jam 10:00 pagi. Setibanya di dewan kuliah, kelihatan penceramah sebelum kami, penulis skrip siri drama Jelatang sedang menyampaikan ceramah. Selesai sesi beliau, kami bersarapan bersama sambil berbual-bual mengenai filem dan drama tanah air. Dapat juga tip-tip bagaimana menulis skrip di samping petua mencari penerbit filem dan drama.


Selepas bersarapan, Zamri Mohamad memulakan sesi selama dua jam. Beliau berkongsi pengalaman sebagai penulis dan membincangkan mengenai teknik persuasif, bagaimana buat duit dengan menulis, bagaimana menjalin kerjasama antara penulis dengan penerbit dan KJ Method. Sesi ceramah begitu ceria dengan gelak ketawa dan pengalaman menarik yang disampaikan oleh Zamri. Selesai sesi selama dua jam, ada sesi kuiz dan hadiah disertakan oleh penganjur.


Selepas rehat dalam masa 10 minit, Imran Azmi pula mengambil tempat. Beliau menyampaikan tip-tip menulis untuk pembaca yang kurang memahami agama, gaya bahasa yang diamalkan di PTS, peluang menjadi penulis PTS dan bagaimana menjalinkan kerjasama dengan PTS. Dalam sesi itu, peserta dibahagikan kepada kumpulan kecil dan diberi peluang menghasilkan karya ringkas. Para peserta kelihatan bersemangat, memberi kerjasama dan menyertai aktiviti yang dijalankan. Ada di kalangan peserta yang memang mempunyai bakat menulis terutamanya dalam menulis cerita pendek dan novel. Mereka hanya perlu diasah dan menyediakan peluang berkarya. PTS Islamika mengalu-alukan mereka menyertai kumpulan penulis PTS. Majlis diakhiri dengan kuiz dan penyampaian hadiah oleh penceramah.





Sebaik sahaja bengkel selesai, bermacam-macam sesi tidak formal turut diadakan. Beramah mesra, soal jawab, autograph, bergambar, bertukar-tukar cenderahati dan sebagainya. Apabila kami pulang ke bilik penginapan, hajat di hati mahu berehar sebentar sahaja. Namun, rehatnya terlajak sampai ke malam. Suasana UiTM Johor di Segamat memang sejuk dan menyamankan. Sesiapa yang belum pernah pergi, anda disarankan melawat di sana.


PTS Islamika merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni UiTM Johor khususnya kepada Tuan Shaiful Anuar kerana menjemput kami, PERMAS yang turut menjemput dan menguruskan acara dengan baik, tidak lupa juga Saudara al-Hafiz, Presiden PERMAS yang memberi layanan yang baik dan seterusnya kepada para peserta yang memeriahkan suasana.


















Sekian, terima kasih.

* kredit gambar kepada Zamri Mohamad

0 komentar: