Monday, August 11, 2008

Penulis PTS Islamika Menang Anugerah

Al-Quran buat saya tenang'

Oleh Norliza Wasilan
norlizawasilan@bharian.com


RAI: Jeanne bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) beramah mesra dengan Dr Aishah dan Ann pada Konvensyen Saudara Muslim Peringkat Kebangsaan 2008 di Kuala Lumpur, semalam.

Jeanne gembira baca tafsir bersama suami selepas Subuh 

KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah, berkata saat menggembirakan dalam kehidupan hariannya ialah apabila bersama Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mengaji al-Quran selepas solat Subuh. 

Katanya, Abdullah mengaji al-Quran, manakala beliau membaca tafsir al-Quran dalam bahasa Inggeris untuk memahami setiap ayat bertujuan meningkatkan pemahaman mengenai Islam.

Memeluk Islam pada usia 23 tahun, Jeanne memberitahu, al-Quran mengajarnya ketenangan dan mengabdikan diri kepada Pencipta. 

"Membaca al-Quran membuatkan saya tenang untuk menyelesaikan masalah," katanya sambil memberitahu Abdullah menggalak dan membimbingnya memahami erti sebagai seorang Islam. 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Saudara Muslim Peringkat Kebangsaan 2008 anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di sini, semalam.

Pada majlis itu, Toh Puan Datuk Seri Dr Aishah Ong dan Ann Wan Seng @ Ann Abdullah menerima Anugerah Saudara Baru Muslim Cemerlang 2008. 

Jeanne berkata, Abdullah mahu beliau menjadi dirinya sendiri kerana Islam bukan mengenai kaum atau negara, tetapi individu. 

Katanya, al-Quran perlu dibaca menggunakan bahasa yang mudah difahami dan menyarankan tidak tergesa-gesa membacanya hanya untuk khatam tanpa memahami kandungannya. 

Mengimbau saat memeluk Islam, Jeanne bersyukur kerana ibu bapanya menerima keputusan itu walaupun dibesarkan dalam Kristian Katolik.

Jeanne menemui kadi di Pejabat Agama Islam di Old Town, Petaling Jaya untuk mengetahui mengenai Islam serta bertanyakan keperluan menukar nama. 

"Kadi menasihati membiarkan perkara itu diteliti dulu dan apabila mendapat jawapan, baru diberitahu," katanya. 

Jeanne berkata, kadi itu ke rumah ibu bapanya lalu dijemput makan malam, manakala ibunya menelefon beliau supaya pulang kerja awal. 

Beliau bersyukur kerana keluarganya menerima keputusan untuk mendalami Islam dan menjadi Muslim.

Sumber: Berita Harian


0 komentar: