Saturday, June 21, 2008

Respon yang menyejukkan hati

Apabila sering mendengar pelbagai tuduhan terhadap tim Islamika, terasa sesak sekejap nafas ini.

Sejak dahulu, PTS sering dituduh merosakkan agama Islam, menghina nabi, Allah dan sebagainya.

Antara soalan yang turut dilemparkan kepada pegawai jualan PTS, terutama En Azari adalah seperti:

# Kenapa pts buat buku tak macam buku agama biasa?
# Kenapa tulis Allah berkata-kata, kurang ajar betul pts ni?
# Ini buku agama ke buku rosakkan agama?
# Bahasa tak beradap langsung?

Kata En Azari, berpeluh juga hendak 'bersilat' dengan mereka itu.

Terbaru sekali adalah tuduhan daripada seorang ustaz yang memandu kapal terbang dalam satu milis (mailing list) yang mempertikaikan niat PTS semata-mata hendak menkomersilkan agama dan cuba mencairkan agama.

Insya'allah dalam masa terdekat saya cuba untuk memberi sedikit penjelasan terhadap tuduhan mereka. Bukan hendak memuaskan hati semua pihak, tetapi sedikit sebanyak menjadi bekalan kepada tim jualan PTS untuk 'bersilat'. Salah satu senjata dan perisai untuk menepis serangan dari pelbagai pihak.

Dalam satu perbincangan tentang buku Biografi Muhammad bin Abdullah di UNIKA, ada satu komen dari pembaca buku PTS yang menyejukkan hati kami. Komen daripada seorang saudara kita, saudara baru, Cikgu (Pn) Aliya Yeoh:

Assalamualaikum,

Saya mempunyai satu naskah buku itu (terima kasih PTS kerana menghadiahkan kepada saya). Bagi saya, kandungan buku itu elok dan sesuai untuk pembacaan bagi golongan yang baru mengenali Islam dan yang mahu mengetahui lebih lanjut lagi tentang riwayat hidup seorang manusia yang dimuliakan Allah swt sebagai nabi dan rasul.

Bukan semua pembaca suka membaca buku-buku ilmiah tentang Islam yang agak berat dengan istilah Arab. Mungkin Ustaz Z berpendapat sebagai orang “alim” tetapi bagi saya seorang saudara baru, serta orang lain yang baru berjinak-jinak dengan Islam (harus disedari bahawa bukan semua pembaca buku PTS adalah orang Islam & Melayu sahaja)bentuk penulisan seperti buku ‘Biografi Muhammad bin Abdullah’ adalah yang akan dibeli dan dibaca, bukan yang berat-berat dengan istilah Arab.

Kulit buku itu juga tidak perlu dibalut oleh pembaca bukan Islam yang risau minatnya terhadap Islam diketahui keluarga atau rakan-rakan lain. Bukankah Islam itu mudah?


Terima kasih puan. Sekurang-kurangnya sejuk sedikit hati. Kami yakin, dengan izin Allah usaha kami dihargai oleh golongan sasaran. Kami bukan 'syok' sendiri.

Kepada Tim Jualan dan Tim Islamika, apabila diasak dengan pelbagai tuduhan, kita terangkan dengan baik kepada mereka, kerana sesungguhnya mereka tidak tahu dan faham.

Sekurang-kurangnya boleh menerangkan kepada mereka bahawa, tujuan penerbitan buku PTS terutama buku-buku agama adalah menerangkan Islam kepada kelompok bukan 'pandai Islam', saudara baru dan non-muslim.

Dalam bahasa yang 'agak lembut' sedikit, buku ala 'Islam for Dummies'.

Saya anggap, mereka mengkritik, menuduh dan menentang kerana tidak faham perjuangan PTS. Sekiranya mereka masih hendak bersilat, boleh minta mereka email kepada tim Islamika, dan kami akan cuba beri penerangan. Itupun sekiranya mereka benar-benar ikhlas hendakkan jawapan.

Bagi menghadapi segala tuduhan, saya menjadikan pesan Allah dalam Quran surah al Muzammil (73), ayat 10 (yang bermaksud) ini sebagai panduan:
Dan bersabarlah terhadap apa yang mereka ucapkan dan jauhilah mereka dengan cara yang baik.


Wallahu'alam

2 komentar:

Salam, Faris. Nak tambah sikit.. semenjak mengajar Sejarah Tingkatan 4 Bab Kemunculan Tamadun Islam dan Bab 5 Kerajaan Islam di Madinah & Makkah yang banyak memerlukan pelajar mengetahui Sejarah Islam, saya dapati buku ini banyak membantu memudahkan tugas saya. Pelajar kini malas membaca buku teks yang membosankan, dan lebih suka cikgu bercerita dengan cara yang menarik. Terima kasih PTS.

Wassalam,
Pn. Aliya, SMK Pokok Sena, Kepala Batas.

Alhamdulillah.

Terima kasih kepada puan kembali...