Buku terbaru PTS Islamika yang akan masuk stor hujung bulan ini adalah Hidup Bahagia dengan Poligami. Ini adalah buku tentang poligami yang kedua. Tahun lepas kami menerbitkan Di bawah Payung Aishah: Tip-tip Poligami.
Setahu kami, pada masa ini PTS Islamika satu-satunya penerbit di Malaysia yang menerbitkan buku-buku tentang poligami. Mungkin ada penerbit lain yang menerbitkannya tetapi kami tidak ketemui. Cuma, yang pasti, kami sudah dilabel sebagai 'Bapa Poligami Malaysia'.
Itu hanya usikan daripada teman-teman. Belum ada yang menfailkan notis label ini secara rasmi kepada kami.
Mungkin juga selepas ini ada yang menuduh Islamika mengalakkan orang ramai berpoligami. Terutama oleh pejuang-pejuang monogami atau pun perkumpulan wanita-wanita yang kecewa dalam rumahtangga mereka (dan cuba untuk memaksa orang lain merasai kekewaan mereka).
Mungkin ada kes-kes di mahkamah nanti yang mensabitkan PTSI dengan kes penceraian mereka. Suami mereka memohon berkahwin lain kerana termotivasi dengan buku-buku Islamika.
Namun, kami juga opitimis, mungkin juga ada pasangan poligami yang bertambah bahagia dan harmoni apabila membaca buku poligami. Atau pun, ada lelaki yang membatalkan niat berpoligami selepas membaca buku ini.
Apa pun, Islamika menyerahkan kepada pembaca untuk membuat keputusan, sama ada buku-buku ini bakal membawa bahagia atau derita (moga dijauhkan Allah). Isu poligami ini adalah antara cabang ilmu fekah (ajaran Islam) yang paling banyak dibincangkan dan didebatkan oleh segenap lapisan masyarakat. Sama ada secara formal atau tidak formal dan secara harmonis atau konfrontasi. Pendek kata, inilah bidang yang paling kontroversi di nusantara!
Pengalaman kami ketika Pesta Buku Antarabangsa KL 2008 melihat beberapa orang pengunjung wanita membelek-belek buku Tip-tip Poligami dan membelinya. Pengunjung lelaki hanya memebelek, senyum, bisik-bisik dengan teman dan kemudian meletak semula.
Ketika buku Tip-tip Poligami diiklankan di akhbar tahun lepas, kami juga mendapat panggilan telefon daripada wanita yang mencari-cari buku tersebut.
Ini menguatkan keyakinan kami bahawa buku-buku poligami turut dibaca oleh wanita.
Kaum lelaki mungkin hanya berminat untuk berpoligami tanpa mahu mendalami ilmu pandai poligami. Mereka seharusnya mendalami ayat Allah, surah al-Nisaak, ayat 7, yang dikatakan memberi legitimasi untuk berpoligami dan juga mengkaji sejarah amalan poligami Rasullullah.
Oleh yang demikian, bagi lelaki yang ingin berpoligami, buku ini sesuai untuk tuan. Juga buat lelaki yang sudah 'terpoligami', buku ini masih relevan dibaca.
Bagi kaum wanita, buku ini tidak salah untuk puan baca, sekurang-kurangnya sebagai panduan untuk membimbing suami (atau bakal suami) supaya mereka lebih dekat dengan Allah.
----
P/s: Gambar-gambar model kulit buku tidak ada kena mengena dengan poligami. Kami terpaksa minta izin daripada model lelaki (amatur) bagi menggunakan gambarnya sebagai penyeri kulit. Mana tahu, kalau-kalau kulit buku ini bakal mengundang tribulasi domestik beliau!
Wallahu'alam
Categories:
Produk
0 komentar:
Post a Comment