Setelah sebulan (mula Isnin, 09 Februari 2009, jam 4:05:54 pm) melakukan proses menterjemah, menyunting, menyusun atur sehingga ke proses akhir, buku 'misteri' ini bakal menemui pembaca di pasaran.
Kenapa dipanggil misteri? Persoalan Yakjuj dan Makjuj sendiri mengundang pelbagai fahaman, pendapat, teori sama ada yang logik mahupun pelik diterima akal.
Semasa saya menerima manuskrip daripada penulis, pada mulanya saya menganggap ia seperti buku perbualan kedai kopi yang hanya diselubungi teori-teori 'plastik' yang tidak nampak di mata, tetapi seronok didengar. Asalkan dia petah berkata-kata, kedai kopi itu miliknya.
Tetapi tidak apabila saya semakin mendalami manuskrip ini. Hujah penulis ini mantap, kukuh dan kemas. Ditambah pula dengan bukti-bukti sejarah, peta dan gambar bermula dari zaman Nabi Ibrahim hingga ke zaman nabi-nabi Bani Israel, penulis berjaya menyusun kronologi kewujudan 'spesis' ganas ini dengan baik.
Suka ataupun tidak spesis ganas ini memang wujud bahkan direkod secara teliti di dalam al-Quran (surah al-Kahfi ayat 94) dan ia akan muncul kembali; pada bila-bila masa. Tidak ada dealine khusus bagi kemunculan bangsa ini. Zulqarnain hanya berpesan selepas selesai membina tembok penghalang Yakjuj dan Makjuj ini pada ribuan tahun yang lampau,
"Berkatalah ia: Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; maka apabila datang janji Tuhanku, Ia akan menjadikannya hancur, dan janji Tuhanku itu benar." (al-Kahfi ayat 98)
Bahagian awal buku ini menceritakan pengenalan kepada kitab-kitab rujukan bangsa Yahudi atau lebih tepat Bani Israel. Ini kerana pada zaman Nabi Muhammad, hanya mereka yang tahu tentang Zulqarnain dan Yakjuj Makjuj (Gog Magog). Bagi mengesahkan kajian ini, penulis Muhammad Alexander @ Wisnu Sasongko membedah hampir kebanyakan teks-teks Yahudi dan Nasrani sehingga mampu membuat perbandingan dengan al-Quran secara 'apple to apple.'
Bermula dari Jerusalem, orang Israel berpindah ke Tanah Arab yang langsung tidak menjanjikan kemewahan harta bagi mereka sebaliknya mereka berpindah kerana janji yang disebutkan oleh nabi-nabi Bani Israel akan kedatangan 'Nabi Akhir Zaman.' Pelbagai bukti dikemukakan sebagaimana dicatatkan dalam kitab rujukan Yahudi ini. Meskipun kita tahu kitab-kitab Yahudi ditokok tambah beberapa kali, penulis berjaya membongkar keaslian teks dengan adunan bukti-bukti teks sokongan Yahudi yang lain dengan baik.
Seterusnya penulis membawa pembaca kepada pengenalan bangsa Yakjuj & Makjuj ini. Siapa yang memainkan watak dan peranan 'merosakkan muka bumi' sebagaimana aduan yang diterima Zulqarnain. Kemudian, pembongkaran lokasi kedudukannya, lokasi serangannya sehingga membawa kepada tembok yang dibina oleh Zulqarnain.
Ingin mengetahui lebih lanjut? Nantikan di pasaran pada bulan Mac 2009 ini....
0 komentar:
Post a Comment